Lulusan Bioteknologi Kini Laku Di
Pasaran
Terdapat banyak peluang kerjaya dalam
bidang bioteknologi iaitu dalam
penyelidikan dan pembangunan (R&D),
pendidikan di universiti dan pengurusan
kerajaan. Manakala dalam sektor swasta
pula, peluang kerjaya terbuka luas di
syarikat-syarikat tempatan dan multi
nasional, pertubuhan antarabangsa,
pengurusan hartanah intelektual dan
menubuhkan syarikat sendiri.
Menurut laporan pasaran kerja untuk
graduan bioteknologi kini amat luas
malah ada syarikat yang menanti-nantikan
pelajar bioteknologi untuk menghabiskan
pengajian mereka.
Pasaran global yang berasaskan
bioteknologi juga berkembang luas.
Bioteknologi membantu dunia dengan
kewujudan pelbagai teknologi baru
seperti dalam perkhidmatan sokongan.Antaranya ialah instrumentasi iaitu
pembangunan peralatan baru, reka bentuk
perubatan yang rasional dengan
menggabungkan farmaseutikal konvensional
dan pembangunan ubat-ubatan berasaskan
protein.
Sementara dalam pembangunan produk pula
ia menghasilkan terapeutik manusia dan
vaksin seperti vaksin Hepatitis B.
Ia menghasilkan benih baru untuk
pertanian seperti kacang soya,
produk-produk teknologi tinggi dan
bawahan seperti klon kultur tisu pisang
dan lain-lain.
Manakala disiplin daripada bidang
bioteknologi ialah molekular biologi
iaitu keupayaan memanipulasi kod
genetik.
Selain itu ialah kimia protein iaitu
memahami tugas-tugas protein dan
penapaian iaitu menggunakan sel untuk
menghasilkan produk pengkomersialan.
Antara yang paling menonjol dalam bidang
bioteknologi sekarang ialah penjujukan
genom dan beras.
Beras mempunyai genom paling kecil dalam
pertanian bijirin dunia.
Pemahaman lokasi dan struktur satu gen
dalam genom beras boleh membantu kita
mencari gen yang sama dalam hasil
pertanian yang lain.
Syarikat biotek diiktiraf --
Kerajaan setuju beri status Bionexus
setaraf MSC – PM
08.09.2006
| NILAI 7 Sept. – Kerajaan hari ini
bersetuju memberi status Bionexus –
setaraf Koridor Raya Multimedia (MSC)
kepada syarikat yang membangunkan projek
berorientasikan bioteknologi di negara
ini, sebagai pengiktirafan sumbangan
mereka.
Status tersebut, antara lain memberi
kebebasan hak milik, tiada sekatan
mengambil pekerja mahir asing, capaian
rangkaian maklumat dengan pusat
kecemerlangan penyelidikan serta
penggunaan makmal, kemudahan dan
perkhidmatan secara berkongsi.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, pemberian status
Bionexus ini akan dinilai oleh
Jawatankuasa Antara Kementerian dan akan
ditadbir sepenuhnya oleh Malaysian
Biotechnology Corporation (MBC).
“Status ini samalah juga sebagaimana
status MSC yang dahulu. Jadi syarikat
yang diberikan status Bionexus ini akan
mendapat insentif daripada kerajaan,”
katanya.
Abdullah berkata demikian kepada
pemberita selepas melancarkan serentak
pembukaan kemudahan cGMP (Amalan
Pengilangan Baik Terkini), Tabung Sains
Hayat Malaysia dan Pusat Inovasi Bio di
Kompleks Biofarmaseutikal Inno Biologics
Sdn. Bhd., Putra Nilai, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Sains,
Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr.
Jamaludin Jarjis; Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Rafidah Aziz; Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamad Hasan; Ketua Menteri Melaka,
Datuk Seri Mohamad Ali Rustam dan
Pengerusi Inno Biologics Sdn. Bhd., Tan
Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus.
Sebelum itu, Perdana Menteri
mempengerusikan Mesyuarat Pertama
Pelaksanaan Bioteknologi, di sini.
Kerajaan memperkenalkan status MSC
pada 1996 bagi menyemarakkan
perkembangan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) di kalangan syarikat
tempatan, di samping menarik syarikat
luar untuk beroperasi di negara ini.
Antara keistimewaan yang disediakan
oleh kerajaan kepada syarikat berstatus
MSC ini ialah 10 jaminan yang antaranya
ialah tiada sekatan mengambil pekerja
mahir asing, tiada cukai import
kelengkapan multimedia, tiada sekatan
penggunaan Internet, selain penyediaan
tarif telekomunikasi yang mampu bersaing
di peringkat global.
Menurut Perdana Menteri, pemegang
status Bionexus akan menikmati segala
keistimewaan yang hampir sama seperti
MSC.
Katanya, Bajet 2007 memberi
pengecualian cukai keuntungan selama 10
tahun kepada pemegang status Bionexus
termasuk pengurangan cukai pada
peringkat awal pelaburan.
“Kita mahu meningkatkan bilangan
syarikat yang berorientasikan
bioteknologi dan biotek ini kepada 200
menjelang 2010. Kita juga mahu melihat
syarikat global Malaysia pada 2020. Pada
masa yang sama pembangunan dan
penyelidikan harus seiring dengan
pembangunan itu,” katanya.
Menurut Abdullah, beliau amat gembira
progres kerja yang dilakukan terhadap
pembangunan bioteknologi ini kerana ia
berjalan begitu cepat.
‘‘Saya berbangga dengan kerja yang
dilakukan ini dan kita berharap ia dapat
lebih dipercepatkan lagi supaya perkara
ini dapat diperluaskan segera,” ujarnya.
Perdana Menteri juga menjelaskan,
setakat ini pembangunan 25 projek
bioteknologi telah dilakukan dengan
nilai pelaburan RM543 juta, antaranya
ialah biofarmaseutikal sebanyak sembilan
projek, agrobioteknologi (7), biotek
perubatan (6) dan industri biotek (3).
Dengan projek ini, Abdullah berharap
ia akan diperluaskan dan menjadi
pemangkin kepada pembangunan negara,
serta mewujudkan banyak peluang
pekerjaan, selain melahirkan saintis
negara dalam bidang bioteknologi.
Beliau turut mengumumkan kerjasama
antara Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi (MOSTI), Malaysian Biotechnology
Corporation dan Q.B.3 Institut of
University of California, San Francisco
untuk bersama-sama menjayakan projek
penyelidikan dan melatih penyelidik
Malaysia berkaitan kaedah terkini teknik
saintifik serta kerjasama bioteknologi
di Inno Biologics Sdn. Bhd.
Inno Biologics Sdn. Bhd. merupakan
syarikat perusahaan bioteknologi utama
di bawah Inno Bio Ventures Sdn. Bhd.
yang diperbadankan di bawah MOSTI dan
perkhidmatannya termasuk pengklonan gen
menggunakan sel mamalia, pembangunan
bioproses dan pengeluaran
biofarmaseutikal cGMP.
Link |
http://www.utusan.com.my
100
syarikat mampu komersial produk bio
Oleh Suffian A Bakar

PERBADANAN Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp),
agensi yang bertanggungjawab
merealisasikan objektif bioteknologi
negara, mengenal pasti 100 syarikat
berpotensi menjadi pengeluar produk
bioteknologi secara komersial.
Ketua Eksekutifnya, Iskandar Mizal
Mahmood, berkata daripada syarikat yang
dikenal pasti itu, 63 sedang mendapatkan
bantuan BiotechCorp.
Beliau berkata, selain membantu
syarikat tempatan terbabit memulakan
perniagaan, BiotechCorp juga memberikan
khidmat nasihat mengenai sumber terbaik
kepada keperluan individu, serta opsyen
bagi kemudahan dan infrastruktur
termasuk pelesenan.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi
kerajaan lain bagi membolehkan mereka
mendapat bantuan pembiayaan atau geran
bersesuaian,” katanya pada satu temu
bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Iskandar Mizal berkata, BiotechCorp
juga mendapat peruntukan RM100 juta
untuk disalurkan sebagai Geran Komersial
kepada syarikat baru beroperasi tetapi
belum lagi bertapak kukuh.
Antara program pembangunan
BiotechCorp termasuk pengambilalihan
teknologi dengan peruntukan sebanyak
RM100 juta dan perkara berkaitan harta
intelek, katanya.
Menyedari bioteknologi sering kali
disalah faham, beliau berkata
BiotechCorp sedang merangka mengadakan
forum bagi membolehkan orang ramai lebih
memahami mengenai bioteknologi.
“Imaginasi spontan kita apabila
memperkatakan mengenai bioteknologi
ialah saintis berbaju putih di makmal
dengan tabung uji mengandungi pelbagai
virus.
“Ia sebenarnya lebih daripada itu.
Apa yang kita buat di BiotechCorp ialah
membantu rakyat Malaysia mengkomersilkan
idea.
“Berapa orang sangatlah yang tahu
siapa mencipta komputer peribadi, tetapi
bila sebut saja nama Apple, IBM, Acer
atau HP ramai yang tahu.
“Apple, IBM, Acer dan HP telah
berjaya mengkomersialkan komputer
peribadi,” katanya.
Bioteknologi adalah platform
teknologi dan sains yang menyediakan
pendekatan pelbagai disiplin tercanggih
kepada pembangunan ekonomi pengetahuan.
Bioteknologi telah dikenal pasti
sebagai enjin pertumbuhan Malaysia di
bawah Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9).
Beliau berkata, kerajaan mensasarkan
bioteknologi menyumbang 2.5 peratus
kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) negara menerusi fasa pertama
pelaksanaan dasar bioteknologi negara
untuk tempoh 2005-2010 dengan nilai
pengeluaran antara RM45 bilion hingga
RM3.145 trilion.
Pusat Bioteknologi Felda terbesar
dunia
NILAI: Pusat Bioteknologi Felda (PBF)
yang dirasmikan oleh Felda baru-baru
ini, menyediakan kemudahan makmal
untuk menghasilkan anak benih
tumbuh-tumbuhan melalui kaedah kultur
tisu terutamanya sawit, pisang dan
tongkat ali yang terbesar di dunia.
Pusat yang dibina dengan perbelanjaan
RM25 juta itu terletak di bandar
Enstek, Nilai, Negeri Sembilan,
berupaya menghasilkan sehingga tiga
juta anak benih sawit setahun menerusi
kaedah pengklonan bagi keperluan
ladang sawit dalam dan luar negara.
Makmal berkeluasan 12,000 meter
persegi itu, mengganti makmal biaklon
yang dahulunya beroperasi di Anjung
Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur
dengan kapasiti 250,000 anak klon
sawit setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak ketika berucap merasmikan
pusat itu berkata, Felda perlu merebut
peluang dalam bidang yang berpotensi
tinggi ini untuk diceburi secara
komersial bagi menjana pendapatan,
sekali gus membantu peneroka
meningkatkan pendapatan melalui
penggunaan anak benih sawit bermutu
tinggi.
“Hasil penyelidikan pusat itu, benih
klon sawit bermutu tinggi dan berupaya
menghasilkan Buah Tandan Segar (BTS)
sehingga 40 tan/ha/tahun berbanding
dengan anak benih komersial D x P pada
masa ini antara 20 hingga 26 tan/ha/tahun.
“Ini selaras dengan visi Felda yang
mensasarkan peningkatan pengeluaran
BTS dan KPM sekurang-kurangnya 23 tan
sehektar setahun dan 22 peratus KPM
menjelang 2011,” katanya.
Beliau berkata, Felda dijangka berjaya
mencapai Visi 35:25 yang disasarkan
oleh Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi, iaitu
pengeluaran 35 tan BTS sehektar
setahun dan 25 peratus KPM menjelang
tahun 2020.
“Pada peringkat permulaan, kapasiti
operasi penghasilan anak klon sawit di
pusat berkenaan dilakukan untuk satu
juta anak benih setahun dan menjelang
tahun 2010 dan seterusnya, kapasiti
penghasilan akan ditingkatkan
sepenuhnya kepada tiga juta setahun,”
katanya.
Anak benih klon yang dihasilkan itu
adalah untuk kegunaan ladang Felda dan
ladang swasta lain dalam atau luar
negara jika mendapat permintaan.
Benih yang dihasilkan di makmal Kuala
Lumpur, kini ditanam di 6,900 hektar
ladang, termasuk 5,000 hektar milik
Felda dan selebihnya di beberapa
ladang swasta.
Najib berkata, pembukaan pusat itu
sebagai sokongan penuh Felda kepada
usaha kerajaan menjadikan bioteknologi
sebagai sumber pertumbuhan baru.
Ia juga adalah manifestasi kejayaan
Felda dalam usaha meningkatkan mutu
bahan tanaman sawit bagi industri
sawit, sekali gus meningkatkan
pengeluaran dan pengeksportan minyak
sawit.
- mjohari@mpob.gov.my
©The New Straits Times Press (M)
Berhad
|